Saidina abu bakar
Zaman Kanak-Kanak
Menuju Dewasa
Malam itu bintang tidak kelihatan kerana diselaputi awan. Suasana
perkampungan Masfalah yang terletak di kawasan tanah rendah Kota Makkah sunyi
sepi kerana penduduknya sedang tidur. Cuma Usman atau Abu Quhafah sahaja yang
belum tidur. Dia cuba melelapkan mata tetapi masih belum terlena. Dia berasa
kesunyian.
“Kepada siapakah akan
aku wariskan sekiranya tidak ada anak lelaki?” Dia mengeluh sendirian.
Abu Quhafah baru
sahaja pulang dari Yaman dengan membawa keuntungan yang banyak hasil daripada
perniagaannya. Dia terkenal dengan hartawan Quraisy. Dia dipandang mulia oleh
kaumnya, Bani Tamim. Cuma satu kekurangannya kerana masih belum mempunyai anak
lelaki.
“Kita pernah
mempunyai tiga orang anak lelaki tetapi semuanya meninggal dunia semasa masih
kecil. Marilah kita berdoa kepada Tuhan semoga anak yang saya kandung ini
seorang lelaki dan umurnya dipanjangjkan Tuhan.” Kata Salma, isteri Abu
Quhafah.
“Bagaimana esok kita
sama-sama pergi berdoa di hadapan Kaabah? Semoga kita mendapat anak lelaki yang
sihat dan panjang umunya.” Kata Abu Quhafah mencadangkan.
“Saya setuju. Semoga
doa kita diperkenankan Tuhan.” Jawab Salma pula.
Keesokan harinya
sebelum matahari terbit, Abu Quhafah dan Salma sudha berada di hadapan Kaabah.
Mereka berdoa dengan penuh khusyuk dengan harapan doa mereka dimakbulkan.
“Wahai Tuhan Kaabah, aku bernazar sekiranya mendapat anak lelaki
akanku namakannya Abdul Kaabah. Semoga Tuhan panjangkan umurnya.” Salma berdoa
dengan penuh pengharapan.
Doa Salma dimakbulkan
Tuhan. Tidak lama kemudian, dia melhirkan seorang anak lelaki yang comel lalu
diberi nama Abdul Kaabah seperti mana nazarnya. Salma menggendong anak yang
baru dilahirkannya lalu dibawanya ke hadapan Kaabah.
“Wahai Tuhanku,
bebaskanlah anak ini daripada kemurkaanmu. Panjangkanlah umurnya dan berikanlah
dia kepada aku.” Doa Salma.
Doanya dimakbulkan
Tuhan. Anak lelaki itu terus membesarkan dengan sihat. “Nama sebenar anak ini
Abdul Kaabah tetapi mari kita panggilnya dengan nama gelaran Abu Bakar. Semoga
Tuhan panjangkan umurnya.” Kata Abu Quhafah.
Semenjak itu, orang
ramai memanggilnya Abu Bakar yang membawa
makna unta muda.
“Pada malam kelahiran
anak ini, saya bermimpi bintang jatuh di atas rumah kita.” Kata Salma sambil
menyuruh suaminya mentafsirkan mimpi itu.
“ Apabila besar
kelak, anak kita ini akan menjadi orang yang ternama. Tetapi lebih baik jangan
diceritakan mimpi itu kepada sesiapa. Takut ada yang dengki lalu membunuhnya.”
Kata Abu Quhafah sambil melahirkan rasa bimbang kerana bunuh membunuh sudah
menjadi perkara biasa dalam masyarakat Arab jahiliah.
“Abu Bakar dilahirkan
dua tahun setengah selepas peristiwa tentera bergajah menyerang Makkah. Semoga
dia menjadi pelindung Kaabah.” Kata Salma sambil mengangkat tangannya lalu
berdoa.
“Wahai Tuhan, semoga
tentera bergajah dari Habsyah tidak dating lagi. Tetapi sekiranya mereka dating
juga ataupun ada tentera dari negara lain yang datang untuk meruntuhkan Kaabah,
maka jadikanlah anak aku ini sebagai pahlawan yang mentang mereka.” Doa Salma
dengan bersungguh-sungguh.
Dia memang berharap
apabila dewasa kelak Abu Bakar menjadi seorang pahlawan yang terkenal. Bukan
sahaja penyelamat kaum Quraisy tetapi juga menyelamatkan Kaabah. Itu harapan
Salma.
Perbualan mereka
terhenti apabila didatangi seorang tetamu yang amat mereka hormati. “Selamat
datang wahai Abdul Mutalib. Kami amat gembira dengan kedatangan tuan yang
pastinya membawa tuah kepada anak kami yang baru dilahirkan.” Kata Abu Quhafah
sambil menyambut kedatangan tetamunya dengan gembira.
“Saya datang untuk
mengucapkan tahniah kepada kamu kerana sudah mendapat anak lelaki. Semoga
umurnya panjang dan apabila besar nanti, menjadi pahlawan Quraisy yang
terbilang.” Kata Abdul Muttalib.
“Terima kasih, tuan.
Semoga doa yang baik itu dimakbulkan Tuhan.” Kata Salma dengan gembira.
“Siapakah budak yang
tuan bawa ini? Tanya Abu Quhafah sambil menunjuk kearah seorang kanak-kanak
lelaki yang dibawa Abdul Muttalib.
“Inilah cucu saya
yang bernama Muhammad bin Abdullah. Ibunya bernama Siti Aminah. Sejak kecil
anak ini dipelihara oleh ibu susunya yang bernama Siti Halimah. Dia tinggal
diperkampungan Bani Sa’ad. Muhammad baru sahaja dihantar kepada kami.” Jawab
Abdul Muttalib sambil menyatakan rasa gembiranya kerana cucu kesayangannya
sudah dikembalikan oleh Siti Halimah kepadanya.
“Anak ini sungguh
comel dan baik budi pekertinya. Semoga dia menjadi sahabat kepada anak kami,
Abu Bakar.” Kata Abu Quhafah pula.
“Nama dia Muhammad.
Satu nama yang belum pernah diguna orang Arab. Mengapa dia diberi nama
Muhammad?” Tanya Salma pula.
“Siti Aminah yang
minta supaya anaknya dinamakan Muhammad. Katanya ada yang membisikkan ke
telinganya supaya anak ini dinamakan Muhammad. Nama itu amat serasi dengannya.”
Jawab Abdul Muttalib.
Kemudian katanya
lagi, “ Ayah Muhammad sudah meninggal dunia. Ibunya pula balu yang miskin.
Tetapi kasih sayang saya kepadanya melebihi anak sendiri. Pada hari dia
dilahirkan, saya kendong budak ini lalu saya bawa masuk ke dalam Kaabah. Itulah
hari yang paling menggembirakan hati saya.” Kata Abdul Muttalib sambil menceritakan
detik-detik kelahiran Muhammad.
“Apakah yang
menyebabkan tuan begitu sayang kepada Muhammad?” Tanya Abu Quhafah pula.
“Pada hari Muhammad
dilahirkan, suasana amat tenang dan tenteram. Hati saya terlau gembira
menyambut kelahirannya. Siti Aminah yang melahirkan anaknya pula tidak berasa
sakit. Bidan yang menyambut kelahirannya terasa seperti dibantu oleh
makhluk-makhluk ghaib.” Jawab Abdul Muttalib.
“Muhammad lahir
membawa tuah. Itu diakui sendiri oleh Halimah, ibu susuannya.” Kata Abdul
Muttalib lagi.
Menurut Abdul
Muttalib, disebabkan Muhammad tidak mempunyai ayah dan ibunya pula miskin maka
tidak ada seorang pun yang sudi mengasuh dan menyusukan dia kecuali Halimah.
Itupun selepas dia tidak mendapat bayi lain. Tetapi sebaik sahaja Siti Halimah
melihat wajah Muhammad lantas dia berasa sayang lalu bersetuju mengambilnya
sebagai anak susuan.
“Menurut Siti
Halimah, keajaiban yang mula-mula dialaminya apabila unta yang ditungganginya
bersama Muhammad dapat berjalan pantas sehingga dapat mengejar unta-unta yang
berjalan dahulu daripada mereka. Ini menimbulkan rasa hairan penunggang unta
yang lain, bagaimana pula unta yang kurus kering dapat berjalan pantas
mendahului mereka.” Kata Abdul Muttalib.
Kemudian katanya
lagi, “Kehidupan Siti Halimah dan keluarganya semakin senang dan bahagia
semenjak Muhammad tinggal bersama mereka. Pohon-pohon kurma mereka berbuah
lebat. Kambing yang mereka ternak membiak dan banyak susunya. Sedangkan ibu-ibu
susuan yang lain, kehidupan mereka masih tidak berubah walaupun anak susuan
mereka berasal daripada keluarga yang kaya. Ini membuatkan mereka memuji
Muhammad yang menjadi anak susuan Siti Halimah.”
Abu Quhafah dan Salma
tertarik dengan apa yang diceritakan oleh Abdul Muttalib. Mereka juga berasa
jatuh hati kepada Muhammad dan berharap kelak dia bersahabat baik dengan Abu
Bakar.
“Menurut Siti
Halimah, berlaku suatu perkara aneh kepada Muhammad. Sebab itu dia segera
memulangkan Muhammad kepada kami.” Kata Abdul Muttalib.
“Peristiwa aneh?
Boleh ceritakan kepada kami?” Tanya Abu Quhafah.
“Baiklah, saya
ceritakan.” Jawab Abdul Muttalib.
Kemudian dia
mengulangi semula apa yang diceritakan oleh Siti Halimah. “Ketika Muhammad
sedang bermain dengan kawan-kawannnya, tiba-tiba datang dua orang lelaki dengan
berpakaian serba putih. Mereka menangkap Muhammad lalu dibaringkan ke atas
tanah. Kanak-kanak yang lain ketakutan lalu mereka lari pulang ke rumah. Anak
Siti Halimah turut pulang ke rumah lalu mengadu kepada ibunya perkara yang
dilihatnya. Siti Halimah berasa cemas lalu mengajak keluarganya mencari
Muhammad. Apabila sampai mereka dapati Muhammad selamat seolah-olah tidak berlaku
apa-apa kepadanya.” Jelas Abdul Muttalib.
Abu Quhafah dan Salma
berasa hairan mendengarnya lalu bertanya,”Apa yang lelaki itu lakukan kepadamu,
wahai Muhammad?”
“Mereka membelah dada
saya lalu membasuh hati saya dengan air zam-zam. Tetapi saya tidak berasa
sakit.” Jawab Muhammad dengan jujur.
“Bolehkah kita
mempercayai kata-kata Muhammad?” Tanya Abu Quhafah.
“Kanak-kanak tidak
pandai berbohong. Lagipun kejadian itu dilihat oleh kanak-kanak lain. Mereka
semua mengatakan Muhammad ditangkap oleh dua orang lelaki lalu dibaringkan ke
atas tanah. Sekali lagi saya katakan kanak-kanak tidak pandai bercakap bohong.
Tambahan pula Muhammad diajar bercakap benar.” Jawapan Abdul Muttalib memuaskan
hati Abu Quhafah.
Sejak hari itu,
Muhammad dan Abu Bakar sering bertemu. Walaupun rumah mereka agak berjauhan
kerana Abu Bakar tinggal di Maslafah dan Muhammad di Syiab Ali yang terletak di
bahagian atas Kota Makkah. Kadangkala Siti Aminah yang berkunjung ke rumah
Salma akan membawa Muhammad bersamanya. Pada hari yang lain, giliran Salma pula
yang datang berkunjung ke rumah Aminah membawa Abu Bakar. Mereka mempunyai
ikatan kekeluargaan yang rapat.
Tambahan pula,
hubungan keluarga antara mereka sudah rapat semenjak dahulu. Jurai keturunan
Abu Bakar bin Abu Quhafah bin Amir bin Kaab bin Taim bin Murrah bin Kaab bin
Luai bin Ghalib bin Fihir al-Tamimi. Jurai keturunan ibunya pula, Ummu al-Khair
Salma binti Sokhr bin Amir bin Kaab bin Saad bin Taim bin Murrah.
Semenjak kecil, Abu
Bakar dan Muhammad dididik dengan penuh kasih sayang. Mereka berkawan rapat.
Tambahan pula kedua-duanya sama-sama berbudi pekerti mulia dan disenangi oleh
masyarakatnya. Mereka berdua tidak pernah menyembah berhala, meminum arak dan
melakukan maksiat yang biasa dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliah.
“Saya tidak meminum
arak demi menjaga kehormatan diri dan maruah saya. Sesungguhnya mereka yang
minum arak itu merosakkan akal dan nama baiknya.” Jawab Abu Bakar apabila
ditanya mengapa beliau tidak meminum arak.
Selain Abu Bakar dan
Muhammad, terdapat tiga orang lagi yang tidak pernah menyembah berhala. Mereka
ialah Qas bin Saidah al-Yadi, Zaid bin Amir bin Nufail, dan Waraqah bin Naufal.
Tiga orang tua itu masih berpegang teguh kepada agama yang dibawa oleh Nabi
Ibrahim. Daripada merekalah Abu Bakar mendapat tahu bahawa Allah akan
mengutuskan seorang nabi di kalangan mereka.
“Wahai Muhamammad, di
kampong seberang diadakan keramaian. Ada tarian, nyanyian dan pelbagai hiburan.
Mahukah kamu sekiranya saya ajak pergi ke sana?” Tanya Abu Bakar.
Disebabkan tidak
sampai hati hendak menghampakan harapan sahabat baiknya, maka Muhammad
bersetuju menerima pelawaan itu. Mereka berjalan kaki dengan sekumpulan anak
muda untuk ke kampong seberang. Di pertengahan jalan, Muhammad berasa sangat
mengantuk. Beliau mengajak Abu Bakar berhenti berehat di bawah sepohon kurma.
Kemudian Muhammad
tertidur lena. Abu Bakar tidak sampai hati mengejutnya. Beliau membiarkan
sahabat baiknya itu tidur sehingga menjelang petang. Apabila Muhammad terjaga,
pesta keramaian itu sudah selesai dan orang ramai sudah pulang ke rumah
masing-masing.
Abu Bakar menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini gadis
pilihannya bernama Qatilah binti Saad. Pada hari perkahwinan mereka, ramai
tetamu yang datang termasuk wanita bernama Khadijah binti Khuwailid.
“Wahai Khadijah, kamu
wanita yang kaya dan mempunyai rupa paras yang cantik. Ramai lelaki yang mahu
menjadikan kamu isterinya. Pilihlah mana-mana yang berkenaan di hati bagi
dijadikan suami.” Kata Qatilah. Kedua-duanya bersahabat baik.
“Saya sudah dua kali
berkahwin tetapi gagal. Kedua-dua lelaki itu berkahwin dengan saya kerana
harta. Bukan kerana cinta dan kasih sayang. Oleh itu, saya takut untuk bersuami
lagi.” Kata Khadijah berterus terang.
“Pilihlah lelaki baik
seperti suami saya. Kelak kehidupanmu bahagia.” Pujuk Qatilah.
Khadijah berpaling
kea rah Abu Bakar lalu bertanya, “Wahai Abu Bakar, masih adakah lelaki yang
baik seperti kamu di kalangan Quraisy?”
Abu Bakar tersenyum
lalu menjawab, “Saya mempunyai sahabat bernama Muhammad. Dia lebih baik
daripada saya. Kami bersahabat sejak kecil. Kami pernah sama-sama pergi
berniaga hingga ke Syam.”
“Boleh kenalkan saya
dengan Muhammad?” Khadijah mula tertarik hati dengan lelaki yang dikatakan oleh
Abu Bakar.
“Dia pemuda yang
pemalu. Tidak bebas pergaulannya. Tidak pernah menyembah berhala dan tidak
pernah meminum arak.” Kata-kata Abu Bakar membuatkan Khadijah semakin tertarik
dengan Muhammad.
Semenjak hari itu,
Khadijah mula tertarik hati mahu mengenali pemuda yang bernama Muhammad. Dia
mencari ikhtiar supaya dapat bertemu dengan pemuda itu.
Sekali lagi Khadijah
menemui Abu Bakar. “Saya memerlukan pekerja yang rajin, jujur serta elok
kelakuannya. Boleh kamu tolong carikan supaya dapat membantu saya dalam
perniagaan?” Tanya Khadijah.
“Pada pendapat saya,
Muhammad yang paling layak. Dia juga pandai berniaga. Tidak rugi kamu
mengambilnya sebagai pembantu.” Jawab Abu Bakar lalu menceritakan hal Muhammad.
“Boleh kamu suruh dia
datang berjumpa saya pada hari ini juga?” pinta Khadijah.
“Mengapa
tergesa-gesa?” Tanya Abu Bakar pula.
“Barang-barang
dagangan saya sudah siap untuk dibawa ke Syam. Sebab itu saya memerlukan
pembantu yang dapat dipercayai bagi membawa barang-barang perniagaan itu.”
Jawab Khadijah.
“Kamu pulanglah ke
rumah dahulu. Petang nanti saya datang bersama Muhammad.” Kata-kata Muhammad
menggembirakan hati Khadijah.
Petang itu seperti
yang dijanjikan, Abu Bakar membawa Muhammad datang ke rumah Khadijah. Apabila
terpandang sahaja wajah Muhammad, Khadijah mula tertarik hati.
“Wahai Muhammad,
mahukah kamu sekiranya saya berikan amanah membawa barang-barang dagangan saya
ke Syam bagi diniagakan?” Tanya Khadijah.
Muhammad
menganggukkan kepala tanda bersetuju menerima tawaran itu. “Sahabat saya
seorang yang jujur dan amanah. Dia tentu membawa keuntungan yang banyak
kepadamu, wahai Khadijah.” Kata Abu Bakar pula.
“Sekiranya dia
bersetuju maka saya sanggup memberikan upah dua kali ganda. Pemergianmu nanti
ditemani oleh pembantu saya yang bernama Maisarah.” Kata Khadijah.
“Mengapa tuan tidak
turut serta?” Tanya Abu Bakar pula.
“Saya ada urusan lain
yang lebih mustahak. Sebab itu saya wakilkan kepada Muhammad bagi memperniagakan
barangan saya.” Jawab Khadijah.
“Saya juga tidak
pergi ke Syam kali ini kerana saya baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Saya
yakin Muhammad pulang membawa keuntungan yang banyak.” Balas Abu Bakar pula.
Kemudian Abu Bakar
dan Muhammad pulang ke rumah mereka.
Khadijah terus
memanggil Maisarah. “Saya arahkan kamu menemani Muhammad membawa barang-barang
dagangan ke Syam. Tugas kamu adalah memerhatikan tingkah laku Muhammad. Apa
yang dilakukannya sepanjang perjalanan pergi dan balik. Apa yang dilakukannya
semasa di Syam. Siapa orang yang dihubunginya apa kata orang kepadanya.
Semuanya hendaklah kamu laporkan kepada saya tanpa ada satu perkara pun yang
disembunyikan.” Kata Khadijah.
“Baiklah, puan. Saya
berjanji memerhatikannya setiap masa dan melaporkan semuanya kepada puan.”
Janji Maisarah pula.
Bagi Khadijah itu
adalah satu ujian buat Muhammad. Sekiranya Muhammad lulus dalam ujian itu maka
Khadijah boleh menaruh harapan tinggi kepada Muhammad. Tetapi sekiranya gagal,
maka dia bercadang melupakan sahaja keinginan bersuami. Dia terpaksa melakukan
ujian itu supaya tidak dikecewakan lagi oleh suaminya. Sekiranya dia berkahwin
kali ketiga, maka bakal suaminya mestilah lebih baik daripada suaminya yang
terdahulu.
Sebelum Muhammad
berangkat ke Syam, Abu Bakar sempat bertemu dengannya. “Wahai Muhammad,
Khadijah meenaruh harapan tinggi padamu. Jangan sia-siakan harapannya. Saya
doakan semoga selamat pergi dan balik dengan membawa keuntungan yang
menggembirakan Khadijah.” Pesan Abu Bakar.
Tidak lama kemudian,
Muhammad dan Maisarah pulang dari Syam. Abu Bakar dan Khadijah menyambut
kepulangan mereka sambilo bertanya pengalaman memperdagangkan barang-barang
Khadijah di Syam.
“Sesungguhnya banyak
perkara ajaib berlaku sepanjang perjalanan kami ke Syam.” Kata Maisarah memulakan
ceritanya.
“Sepanjang perjalanan
pergi dan balik kami dilindungi oleh awan. Dengan itu, kami tidak mengalami
kepanasan. Pernah suatu hari, kami terpisah daripada qabilah yang kami ikuti.
Awan itu memayungi kami tetapi tidak qabilah yang terpisah denga kami. Ini
menyebabkan orang ramai berasa hairan lalu mengatakan itu semua sihir
Muhammad.” Kata Maisarah.
“Benarkah dia tukang
sihir?” Tanya Khadijah.
“Sesungguhnya saya
mengenali Muhammad sejak kami kecil. Saya lebih mengetahui keadaan dia daripada
orang lain. Muhammad bukan ahli sihir dan tidak pernah mempelajari ilmu sihir.”
Jawab Abu Bakar.
“Tetapi, bagaimana
dia dapat menyuruh awan melindunginya seoanjang perjalanan?” Tanya Khadijah.
Bagi Khadijah,
sekiranya benar Muhammad ahli sihir, dia tidak mahu lagi berhubung dengannya.
Baginya tukang sihir adalah antara manusia yang tidak boleh dipercayai.
“Saya tidak tahu
jawapannya. Tetapi saya akan berusaha mencari jawapannya. Cuma pada pendapat
saya, ahli sihir tidak mampu menyuruh awan memayunginya.” Jawab Abu Bakar.
“Ada lagi perkara
pelik yang kamu alami sepanjang perjalanan ke Syam?” Tanya Khadijah kepada
Maisarah.
“Wahai puan, apa yang
saya mahu ceritakan ini mungkin dapat menjawab persoalan mengapa sentiasa
memayungi kami sepanjang perjalanan.” Jawab Maisarah.
Menurut Maisarah, kabilah yang mereka tumpang berhenti rehat
berhampiran dengan sebuah gereja. Muhammad dan Maisarah turut berhenti berehat.
Paderi di dalam gereja itu keluar apabila melihat awan melindungi Muhammad yang
sedang berehat. Kemudian paderi itu menyuruh orang menyediakan jamuan lalu
menjemput semua anggota qabilah itu masuk ke dalam gereja. Tetapi Muhammad
tidak mahu masuk.
“Masih adakah anggota qabilah yang belum masuk?” Tanya paderi itu.
“Semua sudah masuk kecuali pemuda bernama Muhammad.” Jawab ketua
qabilah itu.
Paderi itu keluar lalu menjemput Muhammad masuk ke dalam gereja bagi
bersama-sama menikmati hidangan yang disediakan. Apabila Muhammad masuk ke
dalam gereja, maka awan itu beralih tempat memayungi kawasan gereja.
“Apa yang terjadi selepas itu?” Tanya Khadijah.
“Paderi itu bertanya perihal diri Muhammad. Jawab Muhammad, dia
berbangsa Arab Quraiys dari suku kaum Bani Hasyim. Kemudian itu meminta
Muhammad membuka bajunya bagi melihat satu tanda pada rusuk kanannya.” Jawab Maisarah.
“Apa terjadi selepas itu?” Tanya Khadijah lagi.
“Paderi itu berkata, sesungguhnya dia adalah nabi yang terakhir.” Jawab
Maisarah.
“Di kalangan masyarakat Quraisy, Muhammad yang paling baik
kelakuannya. Oleh itu, sememang layak sekiranya dia menjadi nabi.” Kata Abu
Bakar.
“Memang benar Muhammad mempunyai sifat terpuji. Sepanjang perjalanan
dia tidak pernah menyentuh saya. Malah dia menjaga keselamatan saya sepanjang
perjalanan sehingga kembali ke Makkah. Saya tidak pernah berjumpa lelaki
sepertinya.” Puji Maisarah pula.
Kemudian katanya lagi, “Semasa kami berniaga di Syam, orang ramai
lebih suka membeli barang-barang jualan kami kerana Muhammad bersikap ramah,
jujur, dan disenangi oleh pembeli. Dengan ini, semua barang yang kami bawa
habis dijual dengan keuntungan berlipat kali ganda.”
“Wahai Abu Bakar, saya mengucapkan terima kasih kerana memperkenalkan
saya dengan Muhammad. Sesungguhnya dia lelaki pilihan saya.” Kata Khadijah.
BlogPingSite